Semasa

Lelaki yg Pecahkan Cermin Kereta, dan Ugut Wanita di Dalamnya, Rupanya Penjawat Awam Bekerja

Kota Bharu: Penjawat awam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memecahkan cermin kereta dan melakukan ugutan terhadap seorang wanita di persimpangan lampu isyarat, Kubang Kerian, Khamis lalu.

Tertuduh, Mohd Nasir Husain, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Erdabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Ariyani Mohd Aamin.

Terdahulu, Siti Erdabayu memohon jaminan setimpal ditawarkan terhadap tertuduh, manakala Ariyani memohon jaminan minima kerana tertuduh yang bertugas di sebuah hospital hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *