Semasa

Menerima Nasib Sama Seperti Shuk, Ali Puteh Pasrah Dapat Job RM300 je Sejak 2020

Kemelut dengan balu Allahyarham Abam iaitu Nur Hidayah ternyata memberi kesan besar kepada pelawak Ali Puteh yang hanya menerima satu tawaran sahaja program TV dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2020.

Memetik Harian Metro, Ali berkata tawaran itu diterima pada Ramadan lalu untuk program mengaji dia perlu membaca beberapa surah Al-Quran menerusi panggilan video dengan bayaran diterima sebanyak RM300.

Pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, Ali turut mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 menerusi pengeluaran khas untuk dijadikan modal perniagaan.

“Saya jadikan modal untuk perniagaan daging. Kalau nak diikutkan, jumlah RM10,000 itu tidak mencukupi, namun, saya buat ikut kemampuan saya.

“Kali terakhir saya mencarum adalah pada 2009 ketika saya masih bertugas sebagai pengawal keselamatan suatu ketika dahulu,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ali meluahkan rasa syukur sudah pun menerima tawaran berlakon dalam drama sitkom Lot 69 yang akan ditayangkan pada Jun ini.

Memetik Utusan Online, Ali berkata dia sedar pasti akan ada mulut-mulut negatif yang akan membuat cerita dan perkara itu perlu dijelaskan olehnya.

“Saya baru sahaja menjalin usahasama sebagai duta untuk jenama Red Grocer. Dalam masa yang sama turut menggalas tugas sebagai rakan kongsi.

“Saya tahu, akan ada yang cakap kini mula berniaga sebab nak bayar duit itu tetapi bila fikir-fikir semula, netizen memang akan sentiasa bercakap pun.

“Saya memilih untuk senyum sahaja berkata terima kasih. Saya nak fokus pada kerja dan perniagaan ini saja. Saya tak kerja untuk bayar duit itu, tidak ada kaitan. Fokus berniaga ini lebih kepada fardu kifayah,” katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata tindakannya mengorak langkah dalam dunia perniagaan itu bukanlah penamat dalam kerjaya seninya.

“Saya ini berpegang kepada pendirian untuk terus maju ke depan dalam apa sahaja yang saya lakukan. Begitu juga bila sebut tentang industri. Berniaga bukan bermakna saya akan mematikan kerja-kerja seni saya.

“Jika masih diberi peluang untuk bermain di gelanggang seni, saya akan bermain. Saya dengan Mamak pun tak pernah membubarkan kumpulan Puteh.

“Hal ini sudah dibincangkan awal-awal. Kalau membabitkan kerja-kerja untuk Kumpulan Puteh, kami akan bergerak sama. Kalau untuk kerjaya solo, masing-masing akan menghormati jalan masing-masing,” katanya.

Pada 18 Februari 2022, balu kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Nor Hidayah Mohd Ali menang kes saman fitnah dan Ali Puteh diperintah membayar ganti rugi RM60,000 kepada bekas kakak iparnya.

mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *