Mayat seorang lelaki yang dipercayai hilang sejak 10 bulan lalu, ditemui di dalam kereta yang terjunam ke sebuah sungai di Jalan Nenasi-Pekan, di Pekan, Pahang.
Mayat Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, ditemui lengkap berpakaian di dalam sebuah kereta miliknya.
Muhammad Iman Aqmar dilaporkan hilang sejak 29 Oktober tahun lalu dikatakan dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.
Menerusi group Facebook Info-Info Semasa, Kemalangan, Bencana, Jenayah Di Pahang & Luar Pahang, seorang pengguna Facebook bernama Adam Wong Jr. berkongsi foto didakwa berkaitan kejadian tersebut.
“Saya terima panggilan berhubung kejadian ini pada pagi tadi, sekarang (petang tadi) pasukan penyelamat sedang menarik kereta dan mayat anak saya masih di dalam kenderaan itu.
“Memang saya sahkan, itu anak saya dan nombor kereta sudah nampak dan itu memang kereta anak saya,” katanya menerusi laporan tersebut.
Wanita berusia 54 tahun itu berkata, dia menerima segala ketentuan Ilahi selain lega akhirnya jasad Iman Aqmar yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik ditemukan setelah lama menanti penuh sabar.
Kisah Iman Aqmar Pernah Diviralkan
“Kes orang hilang tahun lepas, baru jumpa di jalan Nenasi – Pekan, arwah masih berbaju offshore Pengerang.
“Ingat tak kes orang hilang yang dalam perjalanan dari Pasir Gudang ke Terengganu tu. Moga keluarga arwah tabah dgn ujian ini,” dakwa Adam Wong Jr.
Berikutan tular foto berkenaan, adik Iman Aqmar iaitu Izz Anisaa mengesahkan bahawa kenderaan dipercayai jenis Nissan Grand Livina ditemukan dalam sungai itu adalah kereta abangnya.
Walau bagaimanapun, dia dan ahli keluarga kini dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti identiti mangsa yang berada dalam kereta tersebut.
“Assalamualaikum, maaf kerana lambat update. Saya adik iman, sahkan itu kereta abang saya sepertimana dalam gambar yang dah ramai orang share di WhatsApp, Facebook.
“Saya dan keluarga dalam perjalanan ke tempat kejadian. Kami akan sahkan orang dalam kenderaan itu abang saya atau tidak. In Sha Allah, kami redha atas segalanya. Iman hak Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, kisah kehilangan lelaki berusia 24 tahun itu tular di media sosial selepas ahli keluarga tidak dapat menghubunginya ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di Kemaman dari kampung di Pasir Gudang.