WANITA yang didakwa menghina Islam ketika persembahan komedi berdiri baru-baru ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Siber Kuala Lumpur pada Rabu.
Siti Nuramira Abdullah membuat pengakuan itu dihadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali dan minta dibicarakan.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.
Penularan video wanita itu menanggalkan tudung dan pakaian menimbulkan kemarahan netizen.
Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 15 Ogos 2022 dan pasport perjalanan antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Siti Nuramira diwakili peguam, R. Sivaraj Retinasekharan, Ramesh N. P. Chandran dan Datuk Shaharudin Ali.
Pendakwaan pula dilakukan oleh pendakwa raya, Najihah Farhana Che Awang.
Pada Sabtu lalu, video memperlihatkan wanita itu bertindak menanggalkan tudung dan baju kurung tular di media sosial sehingga mengundang kemarahan masyarakat.
Sebelum itu, ketika Siti Nuramira naik ke pentas, dia memperkenalkan dirinya selain mengaku seorang wanita Melayu Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran.
Akibat tindakan itu, wanita itu dan teman lelakinya, Alexander Navin A/L Vijayachandran direman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.