VIDEO tular seorang pensyarah yang memarahi mahasiswa gara-gara tidak memiliki komputer meraih perhatian segenap lapisan masyarakat.
“Dia adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).”
“Saya difahamkan insiden berkenaan berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuatnaik semalam.”
“Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu, kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba),” katanya.
Walau bagaimanapun, Dr Roziah sempat mengulas serba sedikit berkenaan pensyarah wanita itu dengan menyifatkan beliau sebagai seorang tenaga pengajar yang bagus namun sedikit kesilapannya adalah memarahi pelajar tersebut.
Tambahnya, tindakan akan segera diambil namun tidak dapat dijelaskan secara terperinci kerana beliau adalah seorang pensyarah kontrak dan perlu melewati laluan tertentu sebelum diambil tindakan.
Dalam pada itu Dr Roziah juga ada mengatakan yang beliau mahukan yang terbaik untuk pelajar serta stafnya dan berharap semua pihak bertimbang rasa terhadap segala bentuk tindakan yang ingin dilakukan.
Terdahulu, video seorang pensyarah wanita menghina pelajarnya serta golongan B40 telah mengundang amarah netizen kerana merasakan apa yang diucapkan sangat keterlaluan.
Hal ini susulan pengakuan pelajar lelaki berkenaan yang mengatakan dia tidak mempunyai komputer dan hanya mengikuti kelas online menerusi telefon bimbit.
Lebih menyedihkan, dia diminta untuk menyuruh kakaknya menggadai gelang emas bagi membelikannya komputer supaya dapat mengikuti kelas pensyarah tersebut pada masa akan datang.
Menteri Gesa Penjelasan
Tidak terkecuali tentunya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mahu pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat penjelasan berhubung isu berkenaan.
“Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini.
Saya telah berhubung dengan pihak @uitmofficial untuk meminta penjelasan mereka,” ujar Noraini menerusi ciapan di Twitter pada Rabu pagi.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia sesi 2021/2022, Rasydan Mohd Hassan turut menyelar tindakan pensyarah berkenaan.
Rasydan yang mewakili keluarga MPP UiTM turut mendesak agar pengurusan tertinggi insitut pengajian itu mengambil tindakan segera ke atas ahli akademik berkenaan atas tindakan biadabnya.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah, Profesor Dr Ts Roshana Takim di dalam video tular malam tadi merupakan satu tindakan luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa.
“Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti keramat ini,” ujarnya.
Pada Selasa malam, video memaparkan pensyarah tersebut memarahi pelajarnya ketika sesi pembelajaran maya tular di Twitter.
mStar